DETIK MENUJU SYAHID

Tuesday, May 17, 2011

Hakikat Ujian Kepada Orang Yang Beriman – Dr Wahbah az-Zuhaily


Sheikh Dr Wahbah az-Zuhaily

Alhamdulillah, pada 14/5/2011 Sheikh Dr Wahbah az-Zuhaily telah sudi untuk menyampaikan syarahan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor.  Syarahan yang bertajuk “Sumpah & Qazaf” itu telah bermula tepat jam 2.30 petang dan berakhir pada jam 4.00 petang.  Tuan Guru Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri telah dijemput sama pada majlis tersebut sebagai penterjemah syarahan.
Sebelum Sheikh Dr Wahbah az-Zuhaily memulakan syarahannya, beliau memohon kepada ALLAH Ta`ala agar kita semua diberikan kefahaman dalam agama, ditambahkan ilmu agama, diberi keberkatan dan dijauhi dari segala kejahatan.
Beliau mengingatkan para hadirin bahawa kehidupan di dunia ini penuh dengan bermacam-macam ujian.  Ujian-ujian itu mungkin datang samada disebabkan oleh diri sendiri atau boleh juga disebabkan oleh perbuatan orang lain.
ALLAH `Azza wa Jalla telah menjadikan dunia sebagai tempat ujian dan fitnah bagi sekalian manusia.  Sheikh Dr Wahbah telah memetik firman ALLAH dari surah al-Baqarah dari ayat 155 hingga 157 seperti berikut:
وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ
الأمْوَالِ وَالأنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ
“Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar,”
الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا
 إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
“(iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, “Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji`uun”
أُولَئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ
 وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ
“Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.”
Dalam menuju mardhatiLLAH, manusia akan sentiasa diuji.  Ia merupakan sunnatuLLAH hidup di dunia ini.  Sheikh Dr Wahbah menasihatkan agar muslim janganlah terlalu berasa sedih dan gundah gulana dengan ujian ini.  Kerana melalui ujian-ujian inilah seseorang akan memperolehi pahala yang banyak, imannya akan bertambah dan darjatnya akan ditingkatkan di sisi ALLAH Ta`ala.
Melalui ujian-ujian ini juga, maka dapat dibezakan siapakah di kalangan hamba-hambaNYA yang beriman, yang bertaqwa, yang munafiq dan yang fasiq.
Beliau seterusnya mengingatkan bahawa ujian dan fitnah yang menimpa setiap manusia adalah berlaku dengan keizinan dari ALLAH.  Di dalamnya terdapat banyak hikmah yang manusia tidak tahu. 
Datangnya ujian dan fitnah tidak akan merobohkan keimanan seseorang yang kuat Imannya kerana kekuatan imannya seumpama teguhnya sebuah bukit yang tidak dapat diganggu-gugat.  Justeru, mempunyai keimanan yang teguh adalah aset utama seorang mukmin berhadapan dengan ujian dan fitnah.
Samada ujian itu datang dalam bentuk kecil atau besar, samada dipenjara, dicerca dan sebagainya, kebaikan tetap akan berlaku kepada orang yang beriman sekiranya dia bersabar dan memahami hakikat sebuah ujian.  Hal ini ada disabdakan oleh Nabi sallAllahu `alaihi wasallam:
“Memang sangat menakjubkan keadaan orang yang beriman itu, kerana segala urusannya sangat baik baginya dan untuk itu tidak terjadi kecuali bagi seseorang yang beriman di mana apabila mendapat kesenangan dia bersyukur, maka yang demikian itu sangat baik baginya.  Dan apabila dia tertimpa kesusahan, dia sabar, maka yang demikian itu sangat baik  baginya.”  (HR Muslim)
Jika kita kembali merenung sejarah-sejarah yang lalu, kita akan dapati bahawa ujian dan fitnah banyak menimpa ke atas orang-orang yang mulia dan utama di sisi agama.  Para rasul, nabi, syuhada’, aulia’ dan ulama’ adalah golongan yang paling banyak menerima ujian dan besar pula fitnah yang menimpa ke atas mereka.  Tentunya ini memberi isyarat kepada kita bahawa semakin tinggi darjatnya di sisi ALLAH, semakin hebat ujian yang diterimanya.  Dan ini akhirnya menatijahkan ganjaran yang tiada tolok banding hebatnya dari ALLAH `Azza wa Jalla kelak.
Untuk memahami hakikat ini, orang-orang yang beriman mestilah jangan berhenti dari menimba ilmu agama, mendalami ilmu-ilmu agama dan berusaha untuk memahaminya.  Kerana dengan ilmulah, seseorang akan disuburi dengan sifat taqwa, seterusnya dapat memberikan reaksi yang betul menurut kehendak agama terhadap apa yang berlaku di sekelilingnya.  Ketahuilah orang yang paling taqwa iaitu takut kepada ALLAH ialah para `ulama’, iaitu orang-orang yang berilmu dan faham ilmu agama. 
Fitnah dan ujian akan sentiasa singgah dalam kehidupan insan.  Samada suka atau tidak suka ia tetap menjadi rencah dalam kehidupan dunia yang sementara ini.  Yang menjadi nilaian di sisi ALLAH ialah bagaimana reaksi kita terhadap ujian itu.  Sabarkah?  Marahkah?  Betulkah? Atau salahkah tindakan kita?  Semuanya nanti akan dihisab oleh ALLAH Jalla wa A`la pada Hari Kebangkitan kelak.
Sheikh Dr Wahbah mengakhiri mukaddimah syarahannya dengan mengingatkan para hadirin bahawa pada setiap kesusahan ini, pasti akan mendapat kesenangan dari ALLAH Subhanahu wa Ta`ala.  Justeru, sangka baiklah dengan ALLAH dan bersabarlah.  ALLAH Ta`ala akan bersama dengan orang-orang yang sabar. 
Sengaja beliau memulakan syarahan tersebut dengan menyentuh perihal hakikat ujian dan fitnah, dan bagaimana peranan iman dan ilmu sangat penting dalam hal ini.  Ini supaya para hadirin dipasakkan dengan asas yang betul dan tepat menurut kehendak agama ketika berhadapan dengan isu seumpama ini.
InsyaALLAH, tulisan akan datang akan menyentuh beberapa perkara penting yang telah disentuh oleh Sheikh Dr Wahbah az-Zuhaily dalam majlis tersebut berkenaan tajuk yang diberi iaitu “Sumpah & Qazaf”. 
Mudah-mudahan catitan ini memberi manfaat buat diri saya dan kalian yang sudi membacanya, amin.

7 golongan mendapat perlindungan

Daripada Abi Hurairah (ra) bahwa Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam) bersabda: Ada tujuh golongan yang akan mendapat perlindungan Allah pada hari yang tiada perlindungan kecuali perlindunganNya: 
1. Imam (pemimpin) yang adil.
2. Pemuda yang taat kepada Allah sejak kecil.
3. Lelaki yang terpaut hatinya dengan masjid.
4. Dua orang yang saling kasih-mengasihi kerana Allah.
5. Lelaki yang diajak oleh wanita yang mempunyai kedudukan dan cantik, lalu ia berkata: “Aku takut kepada Allah”.
6. Orang yang bersedekah secara sembunyi sehingga tidak mengetahui tangan kirinya apa yang diberi oleh tangan kanannya.
7. Orang yang bermunajat kepada Allah sambil berlinangan air matanya.
 
[Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim]

Huraian Hadis:


Di dalam hadis di atas baginda Rasul (sallallahu alaihi wasalam) menjelaskan tentang tujuh golongan manusia yang berada di bawah naungan ‘arasy Allah pada Hari Kiamat. Mereka akan terhindar dari terik panas matahari ketika di Padang Mahsyar. Merekalah golongan yang akan mendapat kebahagiaan di akhirat kerana memiliki salah satu daripada tujuh sifat di bawah ini:


1. Imam yang adil:
Yang dimaksudkan dengan imam di sini ialah raja, presiden, sultan atau hakim atau qadi atau siapa saja yang menjadi pemimpin. Adapun yang dimaksudkan dengan adil ialah menghukum dengan adil dan seksama, tidak berdasarkan hawa nafsu dan tidak pula menerima mengamalkan rasuah atau salah guna kuasa. Oleh itu seorang pemimpin mestilah bersih daripada sifat zalim sebab tugas utama para pemimpin adalah untuk membasmi kezaliman.


2. Pemuda yang taat beribadat kepada Allah sejak kecil:
Remaja yang taat beribadah kepada Allah sejak umur muda lagi. Mereka telah dilatih untuk menghormati hukum-hakam Allah sejak kecil iaitu dengan melaksanakan suruhanNya dan menjauhi laranganNya. Golongan inilah yang boleh diharapkan untuk menjadi pemimpin masa depan yang akan membawa negara ke arah negara makmur yang diredhai Allah (Baldatun thaiyibatun Wa Rabbun Ghafuur).


3. Lelaki yang terpaut hatinya dengan masjid:
Masjid adalah tempat yang paling mulia di atas muka bumi. Sebaliknya tempat yang paling buruk di atas muka bumi adalah pasar. Ini memberi gambaran bahwa orang yang hatinya selalu teringat kepada masjid adalah orang yang soleh. Mereka pastikan setiap hari dapat melakukan solat wajib secara berjamaah. Ini tidak bermakna setiap waktu mereka mesti berada di dalam masjid.
Diriwayatkan bahwa baginda Rasul (sallallahu alaihi wasalam) segera membangun pasar Madinah setelah beliau selesai membangun masjid Nabawy. Ini memberi gambaran bahwa manusia yang sempurna mestilah membuat keseimbangan antara keperluan jasmani dan rohani. Fungsi masjid bukan hanya untuk beribadat kepada Allah dalam pengertiannya yang khusus tetapi juga berperanan untuk mencerdaskan berfikir umat melalui majlis ilmunya dan memperkukoh perpaduan umat melalui solat berjamaahnya dan lain-lain.


4. Dua orang yang saling kasih-mengasihi karena Allah:
Islam adalah agama yang berlandaskan cinta kepada Allah dan bersama-sama mengharap keredaan Allah berdasarkan kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam). Oleh yang demikian, jika persahabatan kita dengan seseorang berdasarkan prinsip itu maka kita akan mendapat kemuliaan di sisi Allah kelak di akhirat.
Sikap saling kasih-mengasihi karena Allah hendaklah dibuktikan dengan menghidupkan semangat amar ma’ruf nahi munkar terhadap sesama kita. Sifat saling nasihat-menasihati dan saling tegur-menegur kepada kebenaran mestilah diwujudkan untuk bersama-sama mentaati ajaran Allah. (Watawaashau Bil Haq).
Atas dasar ini, kita dilarang oleh agama menjalin persahabatan sesama kita hanya atas dasar kepentingan dunia semata-mata umpamanya menjalin hubungan dengan seseorang hanya ingin mendapat kemudahan duniawy disebalik persahabatan itu.


5. Lelaki yang diajak oleh wanita yang mempunyai kedudukan dan cantik, lalu ia berkata: “Aku takut kepada Allah”.
Wanita selalu diperalat oleh syaitan untuk menggugat ketaqwaan seorang lelaki. Lebih-lebih lagi kalau mereka yang mengajak lelaki buat maksiat. Sungguh banyak lelaki yang goyang imannya jika mendapat tawaran tersebut kecuali mereka yang mendapat rahmat dan perlindungan Allah. Lelaki yang benar-benar takut kepada Allah akan menolak rayuan syaitan betina itu. Atau sebaliknya, wanita yang benar-benar bertaqwa akan menolak godaan syaitan jantan tersebut. Mereka akan berkata: “Aku takut kepada (azab) Allah”.
Manusia jenis inilah barangkali yang ingin digambarkan oleh Allah SWT melalui kisah Nabi Yusuf dengan Zulaikha: “Yusuf berkata: Wahai Tuhanku, penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku. Dan jika tidak Engkau hindarkan daripadaku tipu daya mereka, tentu aku akan cenderung untuk (memenuhi keinginan mereka) dan tentulah aku termasuk orang-orang yang bodoh”.(Yusuf 12:33)


6. Orang yang bersedekah secara sembunyi-sembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kanannya.
Rasul (sallallahu alaihi wasalam) menggambarkan manusia yang ikhlas ketika bersadakah seperti tangan kanan. Walaupun jaraknya sangat dekat dengan tangan kiri (manusia) namun dia tidak mengetahui apa yang tangan kanan nafkahkan.
Gambaran ini menyatakan kepada kita bahwa manusia yang ikhlas beramal semata-mata mengharap keredaan dan ganjaran daripada Allah, bukan sanjungan dan pujian manusia lain. Ini tidak bermakna kita tidak dibolehkan bersedekah secara terang-terangan. Tetapi bersedekah secara sembunyi-sembunyi adalah lebih baik daripada terang-terangan sebab ia lebih selamat daripada riyak dan takabbur.


7. Orang yang bermunajat kepada Allah sambil berlinangan air matanya.
Rasul (sallallahu alaihi wasalam) menyatakan dalam bahagian ini betapa besarnya ganjaran yang Allah akan berikan kepada orang yang menangis karena takut kepada azab Allah. Lebih-lebih lagi ketika sujud atau sedang membaca Al-Quran atau ketika berdoa memohon ampun kepada Allah pada dua pertiga malam ke atas dosa masa silam.
Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam) pernah menggambarkan hakikat ini di dalam hadisnya:
Dua mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka, iaitu mata yang menangis kerana takut (azab) Allah dan mata yang berjaga ketika berjihad pada jalan Allah”.[Hadis Riwayat Tarmidzi]
Wallahu ‘alam bishowab.

Wednesday, December 1, 2010

77 Cabang Iman

Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda, “Iman itu memiliki tujuh puluh cabang (riwayat lain tujuh puluh tujuh cabang) dan yang paling utama ialah Laa ilaaha illa Allah, dan yang terendah ialah mebuang duri dari jalan. Dan malu juga merupakan salah satu cabang iman.” (Ashhabus Sittah).
Banyak ahli hadits yang menulis risalah mengenai cabang iman di antaranya ialah : Abu Abdillah Halimi rah a dalam Fawaidul Minhaj, Imam Baihaqi rah a dalam Syu’bul Iman, Syaikh Abdul Jalil rah a dalam Syu’bul Iman, Ishaq bin Qurthubi rah a dalam An Nashaih, dan Imam Abu Hatim rah a dalam Washful Iman wa Syu’buhu.
Para pensyarah kitab Bukhari rah a menjelaskan serta mengumpulkan ringkasan masalah ini dalam kitab-kitab tersebut. Walhasil pada hakikatnya iman yang sempurna itu mempunyai 3 (tiga) bahagian :
  1. Tashdiq bil Qalbi, yaitu meyakini dengan hati,
  2. Iqrar bil Lisan, mengucapkan dengan lisan, dan
  3. Amal bil Arkan, mengamalkan dengan anggota badan.
Cabang iman terbahagi lagi menjadi 3 (tiga) bahagian, iaitu yang berhubungan dengan :
1)      Niat, aqidah, dan amalan hati;
2)      Lidah; dan
3)      Seluruh anggota tubuh.

  1. Yang Berhubungan dengan Niat, Aqidah, dan Hati
1)      Beriman kepada Allah, kepada Dzat-Nya, dan segala sifat-Nya, meyakini bahwa Allah adalah Maha  Suci, Esa, dan tiada bandingan serta perumpamaannya.
2)      Selain Allah semuanya adalah ciptaan-Nya. Dialah yang Esa.
3)      Beriman kepada para malaikat.
4)      Beriman kepada kitab-kitab yang diturunkan Allah kepada para Rasul-Nya.
5)      Beriman kepada para Rasul.
6)      Beriman kepada takdir yang baik mahupun buruk, bahawa semua itu datang dari Allah.
7)      Beriman kepada hari Kiamat, termasuk siksa dan pertanyaan di dalam kubur, kehidupan setelah mati, hisab, penimbangan amal, dan menyeberangi shirat.
8)      Meyakini akan adanya Syurga dan Insya Allah semua mukmin akan memasukinya.
9)      Meyakini neraka dan siksanya yang sangat pedih untuk selamanya.
10)    Mencintai ALLAH
11)    Mencintai karena Allah dan membenci karena Allah termasuk mencintai para sahabat, khususnya Muhajirin dan Anshar, juga keluarga Nabi Muhammad saw dan keturunannya.
12)    Mencintai Rasulullah saw, termasuk siapa saja yang memuliakan beliau, bershalawat atasnya, dan mengikuti sunnahnya.
13)    Ikhlash, tidak riya dalam beramal dan menjauhi nifaq.
14)    Bertaubat, menyesali dosa-dosanya dalam hati disertai janji tidak akan mengulanginya lagi.
15)    Takut kepada Allah.
16)    Selalu mengharap Rahmat Allah.
17)    Tidak berputus asa dari Rahmat Allah.
18)    Syukur.
19)    Menunaikan amanah.
20)    Sabar.
21)    Tawadhu' dan menghormati yang lebih tua.
22)    Kasih sayang, termasuk mencintai anak-anak kecil.
23)    Menerima dan ridha dengan apa yang telah ditakdirkan.
24)    Tawakkal.
25)    Meninggalkan sifat takabbur dan membanggakan diri, termasuk menundukkan hawa nafsu.
26)    Tidak dengki dan iri hati.
27)    Rasa malu.
28)    Tidak menjadi pemarah.
29)    Tidak menipu, termasuk tidak berburuk sangka dan tidak merencanakan keburukan atau makar kepada siapapun.
30)    Mengeluarkan segala cinta dunia dari hati, termasuk cinta harta dan pangkat.
2. Yang Berhubungan dengan Lidah
31)    Membaca kalimat Thayyibah.
32)    Membaca Al Quran yang suci.
33)    Menuntut ilmu.
34)    Mengajarkan ilmu.
35)    Berdoa.
36)    Dzikrullah, termasuk istighfar.
37)    Menghindari bicara sia-sia.
3. Yang berhubungan dengan Anggota Tubuh
38)    Bersuci. Termasuk kesucian badan, pakaian, dan tempat tinggal.
39)    Menjaga sholat. Termasuk sholat fardhu, sunnah, dan qadha’.
40)    Bersedekah. Termasuk zakat fitrah, zakat harta, memberi makan, memuliakan tamu, serta membebaskan hamba sahaya.
41)    Berpuasa, wajib mahupun sunnah.
42)    Haji, fardhu mahupun sunnah.
43)    Beriktikaf, termasuk mencari lailatul qadar di dalamnya.
44)    Menjaga agama dan meninggalkan rumah untuk berhijrah sementara waktu.
45)    Menyempurnakan nazar.
46)    Menyempurnakan sumpah.
47)    Menyempurnakan kifarah.
48)    Menutup aurat ketika sholat dan di luar sholat.
49)    Berkorban haiwan, termasuk memperhatikan haiwan korban yang akan disembelih dan menjaganya dengan baik.
50)    Mengurus jenazah.
51)    Menunaikan hutang.
52)    Meluruskan mu’amalah dan meninggalkan riba.
53)    Bersaksi benar dan jujur, tidak menutupi kebenaran.
54)    Menikah untuk menghindari perbuatan keji dan haram.
55)    Menunaikan hak keluarga dan sanak kerabat, serta menunaikan hak hamba sahaya.
56)    Berbakti dan menunaikan hak orang tua.
57)    Mendidikan anak-anak dengan tarbiyah yang baik.
58)    Menjaga silaturrahim.
59)    Taat kepada orang tua atau yang dituakan dalam agama.
60)    Menegakkan pemerintahan yang adil
61)    Mendukung jemaah yang bergerak di dalam kebenaran.
62)    Mentaati hakim (pemerintah) dengan syarat tidak melanggar syariat.
63)    Memperbaiki mu’amalah dengan sesama.
64)    Membantu orang lain dalam kebaikan.
65)    Amar makruh Nahi Mungkar.
66)    Menegakkan hukum Islam.
67)    Berjihad, termasuk menjaga perbatasan.
68)    Menunaikan amanah, termasuk mengeluarkan 1/5 harta rampasan perang.
69)    Memberi dan membayar hutang.
70)    Memberikan hak tetangga dan memuliakannya.
71)    Mencari harta dengan cara yang halal.
72)    Menyumbangkan harta pada tempatnya, termasuk menghindari sifat boros dan kikir.
73)    Memberi dan menjawab salam.
74)    Mendoakan orang yang bersin.
75)    Menghindari perbuatan yang merugikan dan menyusahkan orang lain.
76)    Menghindari permainan dan senda gurau.
77)    Menjauhkan benda-benda yang mengganggu di jalan.